Wujud Kedai T-Mart di setiap DUN Terengganu

Program Jualan Sentuhan Rakyat dan Perasmian Tuisyen Khas Rakyat di Dewan Serbaguna Tok Jembal Kuala Nerus hari ini. – Gambar Takir Ibrahim

Kerajaan Barisan Nasional Terengganu berhasrat untuk memperluas kedai rakyat 1Malaysia di bawah jenama Terengganu Mart (T-Mart) di seluruh Dewan Undangan Negeri sekiranya terus diberi mandat mentadbir negeri ini.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pelbagai manfaat dapat disalurkan kepada golongan rakyat yang kurang berkemampuan dengan kewujudan T-Mart.

‘Saya nak ucapkan terima kasih kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Dato’ Seri Hamzah Bin Zainudin yang meluluskan untuk dilaksanakan Kedai 1Malaysia di bawah jenama T-Mart (Terengganu Mart) yang akan dibuka lebih banyak termasuk di Kampung Baru Kuala Lumpur dan saya bercadang jika Barisan Nasional kekal memerintah Terengganu kita cadang akan buka di setiap daerah termasuk semua DUN (Dewan Undangan Negeri)’.

‘Jika dapat kita buka di setiap DUN yang boleh membantu menyedia keperluan asas rakyat pada harga istimewa dan juga dalam manifesto BN yang menawarkan kad untuk kemudahan golongan e-kasih seperti warga emas dan PPRT maka dengan tidak secara langsung agenda menangani kos sara hidup kita dapat laksanakan’, katanya selepas menghadiri Jualan Sentuhan Rakyat dan Perasmian Tuisyen Khas Rakyat di Dewan Serbaguna Tok Jembal Kuala Nerus pagi tadi.

Hadir sama Isteri Menteri Besar To’ Puan Seri Halina Zakaria, Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus Dato’ Basir Ismail, Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia Zahida Zarik Khan dan hampir 10,000 penduduk sekitar Parlimen Kuala Nerus.

Sementara itu Ahmad Razif memberitahu Jualan Sentuhan Rakyat akan diadakan di seluruh daerah pada setiap minggu.

‘Jualan sentuhan rakyat telah dilaksanakan sebanyak 40 kali di seluruh daerah Terengganu dan akan diteruskan pada setiap minggu di semua daerah’.

‘Pasar sentuhan rakyat dengan kerjasama KPDNKK dan saya lihat ia mendapat sambutan mengalakkan dan inilah keperluan rakyat’.

‘Ia adalah strategi yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional untuk kebajikan rakyat dalam usaha menangani kenaikan kos sara hidup’, tambahnya. – Sumber Terengganu.news