Warga Emas 70 Tahun Jual Tanah Demi Mengahwini Gadis Idaman Berusia 25 Tahun

BONE, INDONESIA – Seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun menggemparkan penduduk di bandar ini apabila berkahwin dengan seorang gadis yang 45 tahun lebih muda daripadanya.

Tajuddin Kammisi, 70, turut memberi mas kahwin berjumlah hampir Rp1.4 bilion (RM469,270) kepada isterinya, Andi Vytriana atau dikenali sebagai Andi Fitri, 25, yang masih belajar di Universiti Bosowa di Makassar, Sabtu lalu.
Majlis perkahwinan mereka berlangsung di Dusun Tanah Tengah, Desa Liliriawang, Bengo di Bone, Sulawesi Selatan.
Tajuddin yang juga bekas Naib Wali Kota Parepare, menjual tanahnya bagi mengahwini gadis idamannya itu.


Dalam upacara akad nikah, turut disebut mas kahwin Rp150 juta (RM50,000), kereta mewah berharga Rp400 juta (RM134,247), rumah dan emas seberat 200 gram.
Perkahwinan pasangan itu dan jumlah mas kahwin yang besar menjadi viral selepas gambar mereka tersebar di media sosial.

Ketua Desa Liliriawang, Sunding, mengesahkan perkahwinan pasangan berkenaan.