‘Wajib Baca!!! 43 Point Tmj Dalam Sesi Dialog Bersama Peminat,Point No. 27 Sangat Padu…Mohon Sentap’

Semalam telah berlangsung sesi dialog TMJ bersama peminat dan penyokong kelab JDT. Sesi dialog tersebut telah berlangsung selamat sejam lebih. Inilah jawapan terbaik bagi seorang pemilik Kelab Bola Sepak di Malaysia yang patut semua kelab contohi. Bukan admin nak membangga diri,tapi sejak JDT bangkit dalam 3 4 tahun kebelakangan ini sepatutnya team-team lain pon dah ikut. Oh ya…tapi janganlah tiru identiti JDT sepenuhnya. hehe. Mari ikuti jawapan padu dari TMJ sesi dialog semalam :

INTIPATI SESI DIALOG BERSAMA DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR | 16HB NOVEMBER 2016

1. Setiap tahun bola sepak adalah mencabar, tidak semestinya awak menang setiap tahun. Ada tahun kita menang dan ada tahun kita kalah. Tetapi itu bukan perkara yang saya risaukan kerana sepertimana yang saya katakan sebelum ini, objektif kami adalah untuk berada dalam pertandingan AFC. Ia tidak boleh dinilaikan berdasarkan anda kalah atau menang, tetapi untuk sentiasa wujud dan bersaing dalam pertandingan yang berprestij, kerana itu adalah pertandingan peringkat antarabangsa.

2. Saya lebih suka jenama JDT bermain di peringkat antarabangsa berbanding sekadar bermain di peringkat domestik. Itulah sebabnya saya selalu sebut bahawa pertandingan liga dan Piala FA menjadi tumpuan kita.
3. Pada tahun hadapan, kemungkinan kita tidak akan tetapkan apa-apa sasaran. Mungkin sasaran sebenar adalah untuk membuat lebih duit. Saya tahu ramai penyokong tidak bersetuju dengan kenyataan saya ini tetapi anda kena faham, anda mahukan pasukan yang kuat jadi anda kena membantu sebagai penyokong. Kalau barang original pun penyokong tidak mahu beli tetapi anda mahukan pasukan yang kuat, minta maaflah, anda tidak akan dapat satu pasukan yang kuat.
4. Setiap tahun kami terpaksa berhempas pulas untuk mencari dana, kalau anda lihat Kelantan, Selangor dan Felda juga ada masalah. Yang tiada masalah hanya Pahang sahaja dan kita pun tahu kenapa Pahang tiada masalah. Semua pasukan hadapi masalah termasuk juga Johor.
5. Dengan pembinaan stadium baru, tempat latihan baru dan juga pemain-pemain baru yang kita akan ambil, saya nampak bajet kita (untuk pembelian pemain) tidak akan berada dalam bajet yang besar. Tumpuan kita adalah untuk mendapatkan kembali duit yang kita pernah gunakan sejak 2013 sampai 2016. Insya-Allah kita akan kembali berbelanja semula pada tahun 2018 atau 2019, manakala tahun 2017 adalah tahun untuk kita dapatkan semula duit-duit yang kita sudah digunakan.
6. Kita ada penjaga gol muda daripada PDRM, beberapa pemain muda daripada JDT II seperti Afiq Fazail dan kemungkinan juga yang dalam perhatian seperti Che Rashid. Pada tahun hadapan, kita tidak ada masalah untuk ambil pemain JDT II kerana kami di JDT boleh menukar mana-mana pemain pada bila-bila masa sepanjang musim tanpa perlu menunggu jendela perpindahan. Dan hanya JDT sahaja yang mempunyai struktur berikut. Saya tumpukan kepada pemain-pemain muda seperti Darren Lok dan saya mahu mereka lebih bermain di JDT II.
7. Pemain-pemain sedia ada pun akan ada yang berhijrah keluar. Ada pasukan yang hendak membeli pemain import dan tempatan kita. Ini adalah bola sepak, saya perlu menerimanya kerana kita tahu untuk mencari dana dalam Malaysia ini, tidak ada pasukan bola sepak yang boleh membuat duit. Ini kerana mentaliti penyokong yang masih belum bersedia untuk berkhidmat sebagai pemegang saham kepada kelab di mana anda boleh menyumbang duit kepada kelab dan menyokong kelab.
8. Penjualan tiket dan barangan kelab bola sepak di Thailand, seperti Buriram FC mencatat sekurang-kurangnya USD1.7 juta untuk satu tahun. Itu adalah satu kejayaan dan saya menghormati mereka kerana mempunyai sebuah konsep. Saya juga telah dijemput untuk pergi ke sana untuk melihat bagaimana mereka lakukan dan belajar bagaimana cara untuk mengukuhkan lagi kedudukan kewangan JDT.
9. Kepada penyokong-penyokong, sama ada anda suka atau tidak, dan walau perit hendak terima, anda perlu faham bahawa duit kita semakin lama semakin susut, semakin tahun semakin berkurangan kerana kita belum ada ahli lagi di dalam kelab. Untuk anda berada dalam kelab sebagai ahli, Dato’ Hasni akan bersama saya iaitu sebagai individu yang menjaga Yayasan JDT dan beliau akan memberikan taklimat kepada anda semua tidak lama lagi berkenaan Yayasan JDT di mana penyokong adalah pemilik Kelab Bolasepak JDT.
10. Kemungkinan besar juga saya akan ada ‘foreign superstar’ (bintang ternama dari luar negara) yang turut akan menjadi pemilik Kelab Bolasepak JDT. Dan sekiranya anda benar-benar sayangkan kelab ini, marilah bersama-sama menjadi pemilik kelab ini dan cuba mencipta kejayaan dalam semua segi aspek tidak kisah dari dalam atau luar padang.
11. Afiq Fazail dan Che Rashid akan berada selama tiga atau enam bulan di JDT II. Itu terpulang kepada Mario, kerana Mario adalah jurulatih. Saya akan memberikan sokongan kepada idea dan pandangan-pandangan Mario Gomez dan Benjamin Mora. Nazmi Faiz pula telah kami tandatangani dan kami mungkin akan meminjamkan beliau ke Jepun untuk bermain di sana. Buat masa ini saya belum tahu kelab mana lagi namun saya ucapkan semoga berjaya bermain di sana dan apabila beliau sudah bersedia untuk kembali ke tanah air, beliau boleh berkhidmat untuk pasukan JDT.
12. Mengenai Juan Martin Lucero, kita akan lihat terlebih dahulu tawaran yang diberikan. Saya juga perlu berfikir betul-betul kerana beliau adalah pemain yang telah memberi banyak sumbangan kepada pasukan dan telah menjaringkan jumlah gol yang banyak. Tetapi sekiranya saya menerima tawaran yang baik, saya akan lepaskan beliau. Kemungkinan juga sekiranya saya menerima tawaran yang baik untuk Jorge Pereyra Diaz, saya tetap akan lepaskan dia walaupun beliau adalah ‘Top Scorer’ (penjaring terbanyak). Saya tidak boleh berfikir menggunakan emosi saya, saya perlu berfikir menggunakan kepala saya bagaimana hendak menjaga Kelab Bolasepak JDT.
13. Jika kita berfikir menggunakan emosi, anda boleh lihat apa yang berlaku di Kelantan. Jika kita menghadapi masalah, kita patut mencari jalan penyelesaian. Ada tahun kita boleh kejar kejuaraan, ada tahun kita tidak boleh kejar kejuaraan. Itu adalah cara bagaimana kita kekalkan sesebuah kelab. Saya tidak mahu apabila kita berbelanja lebih dari yang sepatutnya, kita akan berada dalam situasi di mana kita tidak dapat menanggung gaji-gaji pemain. Itu akan menjadi satu isu. Saya tidak mahu itu berlaku kerana saya sentiasa akan menjaga kebajikan para pemain dan kakitangan-kakitangan dalam Kelab Bolasepak JDT.
14. Mengenai pemain JDT yang bakal berhijrah, pada masa ini terdapat 15 hingga 20 pemain yang telah menerima tawaran lebih besar dari pasukan-pasukan lain. Sekarang kita sudah tahu bahawa pasukan-pasukan terkaya dalam negara juga sudah keluarkan banyak duit dan saya kena terimalah kalau pemain-pemain saya mahu berhijrah. Saya tidak boleh paksa pemain untuk bermain bola dalam pasukan saya dan ini bukan penjara. Kami adalah kelab bola sepak. Lihat sahaja pada pengurusan kelab lain. Saya dapat lihat pasukan Melaka akan berbelanja besar, saya tahu pesaing saya pasukan Pahang akan berbelanja besar dan juga pasukan Selangor, Felda serta yang lain-lain lagi.
15. Mengenai Amri Yahyah, itu terpulang kepada Mario Gomez. Kalau Mario merasakan Amri masih boleh memberi sumbangan kepada JDT dan sesuai dengan corak permainan, kami akan simpan beliau. Tetapi jika sebaliknya dan sekiranya ada pemain muda yang boleh menggantikan posisi beliau serta sesuai dengan corak permainan JDT, kami akan lepaskan beliau.
16. Mengenai Yayasan JDT, masih ramai yang tidak faham lagi dan mentaliti orang kita masih gagal memahami konsep ini telah dilaksanakan di luar negara iaitu di mana anda diberi hak untuk mengetahui perkembangan-perkembangan pasukan, boleh menghantar wakil kepada mesyuarat-mesyuarat kami sebagai ahli kelab. Jadi penyokong sentiasa tahu perancangan pengurusan, hala tuju kelab, bagaimana kelab membuat duit dan bagaimana kita memberikan satu kebanggaan buat masyarakat, anak-anak muda dalam akademi, untuk membesarkan lagi rangkaian program akar umbi kita. Owlh itu penyokong perlu bersama-sama kami untuk sama-sama membangunkannya. Begitulah yang dapat kita lihat di dalam kelab Barcelona dan Valencia yang penyokong sentiasa ada wakil untuk menyampaikan suara mereka dan juga sampaikan kepada penyokong yang lain.
17. Penyokong perlu sedar, dalam kelab bolasepak JDT terdapat individu yang bukan calang-calang. Kalau anda lihat Mario Gomez, beliau sudah berada 30 tahun dalam bola sepak. Raul Longhi, dan juga semua orang yang pernah mencipta sejarah dan main di tahap antarabangsa yang paling tertinggi berada di dalam kelab ini. Anda juga ada pemain seperti Safiq Rahim, Aidil Zafuan, Safee Sali (iaitu semua pemain yang sudah mencapai satu kejayaan). Mereka tahu apa yang perlu mereka lakukan dan apa tugas mereka.
18. Satu lagi contoh adalah apabila saya menandatangani Juan Martin Lucero. Lima hingga enam perlawanan pertama Lucero gagal melakukan sebarang jaringan, berbagai kritikan yang kami terima. Seolah-olah anda pula menjadi jurulatih tetapi pada hari ini apabila saya hendak menjual Lucero, ramai pula yang tidak bersetuju. Oleh itu, kena faham sebelum hendak buka mulut perlu berfikir dahulu , kalau saya tidak tahu apa saya buat, anda tidak akan ada tujuh piala depan mata anda pada hari ini dalam masa tiga tahun.
19. Saya mahu cerita sikit sejarah dan latar belakang, kerana benda ini bagus untuk penyokong ingat. Pada tahun 2013, saya tidak kenal satu perkara pun mengenai bola sepak dan tidak kenal satu pemain pun. Saya hanya dengar nama sahaja Safiq Rahim, saya tidak pernah kenal dan tidak pernah tengok. Jadi beliau adalah pemain pertama yang saya tandatangani dan kemudiannya Shahrul Idlan Talaha. Selepas satu tahun belajar selok belok bola sepak tanah air termasuk dalam dan luar padang, serta politik barulah saya kenal bola sepak Malaysia macam mana. Jadi, pada tahun 2014 kita dapat pemain yang lebih baik dan kita dapat piala kita yang pertama. Benda ini adalah berkenaan dengan dedikasi, pengetahuan dan juga apa perancangan-perancangan kami dalam bola sepak. Kemudian saya ambil Pablo Aimar, untuk letak JDT di mata dunia, atau orang panggil ‘instant success’ (kejayaan segera) iaitu untuk buat kejayaan dengan cepat, kena buat banyak bising, jadi dunia tahu betapa serius kita. Selepas itu, baru kita boleh buat konsep program akar umbi kita. Konsep ini cukup sama dengan konsep Paris Saint Germain. Pertama kita kena beli pemain untuk dunia tahu bahawa kita serius untuk bersaing dalam peringkat tertinggi. Selepas itu baru boleh buat program akar umbi. 2015 kita dah boleh tengok hasil apabila kita menang lagi kejuaraan. Selepas itu saya lihat Pablo Aimar, saya berbincang dengan pengurusan dan saya terpaksa gugurkan beliau. Saya juga terpaksa gugurkan satu lagi pertahanan iaitu Baihakki Khaizan. Semua penyokong Johor tidak setuju dengan saya. Sampai buat banner menyatakan ‘SAVE BAIHAKI KHAIZAN FROM THE INVISIBLE SINGH’. Ada juga yang mengatakan bahawa saya selalu tukar pemain, kerana saya ditipu dengan ejen. Jadi, saya terpaksa buat keputusan saya di Argentina untuk cari pemain sendiri yang tiada nama tetapi yang saya rasakan ada potensi. Saya buat keputusan untuk menandatangani Jorge Pereyra Diaz dan Marcos Antonio. Datang pula Marcos Antonio, orang viralkan video penampilan pertamanya sewaktu dia bermain di Nuremberg. Hari ini, Marcos Antonio telah membantu pasukan JDT menang tujuh piala dalam masa tiga tahun dan merupakan pertahanan terbaik dalam negara.
20. Pada tahun 2013, jurulatih Fandi Ahmad hendak keluarkan Safiq Rahim. Saya bergaduh dengannya dan saya katakan bahawa saya tidak bersetuju. Saya mahu beri Safiq Rahim satu lagi peluang. Pada tahun 2014 hingga ke hari ini Safiq Rahim telah membantu pasukan menang tujuh piala, dan menjaringkan banyak gol. Saya juga terpaksa keluarkan nama besar seperti Pablo Aimar, dan saya gantikan beliau dengan Jorge Pereyra Diaz. Apabila saya buat keputusan ini, kalau kalah saya bertanggungjawab kerana saya yang buat keputusan. Tetapi saya ikut naluri dan hati saya, saya fikir betul-betul dan saya buat keputusan ambil Jorge Pereyra Diaz. Dalam lima perlawanan, Jorge Pereyra Diaz menjaringkan 9 gol dan berjaya membantu JDT memenangi kejuaraan liga pertama pada tahun 2014. Selepas menang Piala Sumbangsih 2015, saya lihat Bojan Hodak gagal mengawal bilik persalinan apabila pemain tidak bersetuju dengan jurulatih kecergasan iaitu orang yang sama bertanggungjawab kerana Terengganu jatuh tahun ini, Miro dari Croatia. Saya keluarkan Miro dan Bojan Hodak. Semua penyokong JDT berkata “kenapalah TMJ ni, jurulatih tersebut dah menangkan dua piala dalam masa 24 tahun, TMJ boleh keluarkan”. Selepas itu saya lantik pula Mario Gomez, dan hari ini beliau telah menangkan anda lima piala. Tiada orang yang cadangkan Mario kepada saya. Kerana saya lihat sendiri Mario melatih South China ketika perlawanan AFC menentang Pahang. Saya hubungi beliau di Argentina dan hari ini Johor telah pun berjaya menang tujuh piala secara keseluruhan. Jadi saya tahu apa saya buat.
21. Sekiranya ada orang yang merasakan dia mampu membuat lebih baik daripada saya, silakan. Ini adalah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, hak milik rakyat Johor. Kerusi saya bukan saya sahaja boleh duduk, anda pun boleh duduk juga. Tiada masalah.
22. Saya tahu apa yang saya buat, kerana saya belajar dari orang yang tahu pasal bola sepak seperti Peter Kenyon, Peter Lim, Jorge Mendes (ejen pemain multibillioner yang paling berjaya), Joan Laporta, Rafael, Martin Prest, Mario Gomez dan ramai lagi. Saya juga belajar dari Mr Miguel, pemilik Atletico Madrid. Saya belajar sejak dari 2013 bila kali pertama saya berjumpa mereka di Shangri-La Hotel, Singapura.
23. Media di Malaysia lebih suka belajar dari Khalid Ali. Beliau seolah-olah tahu tentang semua perkara. Kadang-kadang kita kena sedar dunia sudah berubah. Dunia moden dengan dunia dulu tidak sama. Jika anda masih mahu pemain jadi semi-pro pergi latihan naik basikal, maka tidak ada orang yang mahu bermain bola pada hari ini. Dunia sudah berubah. Kita kena berubah dengan masa. Itu yang dipanggil “adaptation” (adaptasi/penyesuaian diri). Apabila Mario Gomez datang Johor, beliau kena sesuaikan diri dengan dunia orang melayu, dunia Bangsa Johor. Sama juga dengan pemain-pemain lain. Tetapi awak ada seorang bekas pemain bola sepak yang belum boleh menyesuaikan diri dengan dunia zaman sekarang. Jika dia pandai, kenapa WFS tidak pernah panggil dia untuk bercakap? Tetapi media kita masih terhegeh-hegeh nak tanya soalan kepada orang ini. Suruh sahaja dia jadi Presiden FAM jika dia pandai sangat. Semua orang pandai mengkritik. Cakap dengan saya siapa yang pandai bagi sumbangan pada bola sepak tanah air?
24. Saya telah memberi sumbangan untuk dua tahun berturut-turut bagi membantu ranking pasukan kebangsaan tetapi itu tidak cukup kerana kita ada jurulatih seperti OKS. Kita perlu tunggu jurulatih daripada Spain datang mengendalikan pasukan kebangsaan. Falsafah bola sepak skuad kebangsaan pasti akan berubah. Tetapi awak kena ingat apabila kita melakukan perubahan bukan serta merta kita boleh menang. Bola sepak perlukan masa. Argentina contohnya mempunyai pasukan terbaik dalam Piala Dunia 2002 tetapi gagal melepasi suku akhir. Pasukan tersebut pula adalah pasukan yang paling mantap dalam sejarah bola sepak Argentina.
25. Bola sepak adalah mengenai pengetahuan, sumbangan, masa dan juga nasib. Semua memainkan peranan.
26. Saya ada masalah dengan mentaliti penyokong dan juga media di Malaysia. Kenapa setiap kali perlu berjumpa Khalid Ali untuk meminta pendapat? Kenapa tidak bertanya dengan orang lain di sekeliling dunia? Dan bila saya bercakap untuk perbaiki bola sepak negara, esok akan ada yang bersuara.
27. Khalid Ali sentiasa ada jawapan. Kenapa media sentiasa pergi mendapatkan pendapatnya? Anda kritik semua orang seolah-olah anda orang paling pandai dalam dunia. Kenapa orang macam ini tidak mahu duduk di hadapan saya? Letak mereka atas satu stage dengan saya dan juga menteri. Bagi semua penyokong datang dari seluruh negara dan tanya semua soalan pasal bola sepak Malaysia. Tetapi sehingga hari ini, ia tidak pernah berlaku. Kerana kebanyakan orang hanya mahu membaca dari page seperti Harimau Malaya yang kononnya mereka ini adalah orang yang paling tahu tentang bola sepak. Jika saya tak tahu pasal bola sepak, kenapa World Football Summit jemput saya? Di WFS ada CEO Twitter, pemilik Atletico Madrid, penganjur Piala Dunia di Qatar tetapi saya tidak nampak Khalid Ali. Saya tidak nampak Datuk-datuk Pahang di situ. Saya tidak nampak page-page dari Malaysia yang kononnya pandai pasal bola.
28. Masalah-masalah bola sepak di Malaysia adalah; (i) Rasuah (ii) Pilih kasih (iii) Kurang pengetahuan oleh jurulatih (iv) Pembangunan akar umbi (v) Pasukan semua tidak boleh buat duit kerana penyokong lebih suka beli jersi cetak rompak berbanding jersi original jersi. Dan juga hak penyiaran pasukan dimonopoli oleh persatuan bola sepak kebangsaan.
29. Mengenai hak penyiaran, lihat contoh bagaimana Barclays menaja liga, merekalah yang akan menjalankan liga. Badan induk hanya untuk menjaga undang-undang, tiada satu sen pun badan induk, semua adalah untuk pasukan yang bertanding. Di sini semua duit pergi ke FAM yang kemudiannya akan salurkan duit tetapi ada yang tidak sampai.
30. PDRM tidak patut disingkirkan dan patut berada dalam Liga Super tetapi untuk selamatkan sebuah pasukan, PDRM terpaksa disingkirkan. Jawatankuasa disiplin dianggotai oleh mereka yang menerima Datuk dari negeri mana?
31. Berkenaan Benfica, jika pasukan saya melaporkan diri pada 5hb, mereka perlukan dua minggu untuk berlatih di sini, jika kami pergi pada 22hb, 25hb sudah krismas. Kami nak lawan dengan siapa? Jadi itu sedang kita teliti, kalau ada pasukan untuk perlawanan persahabatan kita akan pergi, jika tidak kita akan ke Thailand sahaja. Ia terlalu hampir dengan Krismas, kita perlu hormat perayaan mereka. Jadi belum ada sebarang pengesahan. Jemputan terlalu singkat, saya khuatir pemain tidak dapat rehat secukupnya, tidak berlatih secukupnya dan terpaksa tergesa-gesa pulang ke Johor dan mereka akan kepenatan. Belum ada keputusan dan saya akan berbincang dengan Mario Gomez. Walaubagaimanapun, perlawanan persahabatan dengan Buriram United sudah disahkan.
32. Saya hanya menyampaikan kenyataan, tetapi dari persepsi orang Melayu, mereka mengatakan saya bongkak. Ini bukan pasal saya bercakap besar tetapi kerana saya boleh bercakap dan buktikannya dengan fakta.
33. Berkaitan Yayasan JDT, kita dalam peringkat akhir perbincangan, kelewatan adalah berkaitan akaun dan pendaftaran. Sekarang pendaftaran sudah diselesaikan dan akaun sudah dibuka. Saya sendiri sudak meletakkan duit sendiri ke dalam akaun Yayasan. Datuk Hasni dan Kapten Fahmy akan maklumkan pada semua penyokong. Kita akan mulakan pada Januari kerana masih ada yang perlu diselesaikan.
34. 50% bajet kurang kerana penyokong ada perlawanan yang mereka hendak datang, ada perlawanan yang mereka tak mahu datang. Lepas tu penyokong akan marah bila pasukan kalah. Jika tak mampu bayar gaji, pasukan akan kalah semua game. Alasan pasal bulan puasa, hari bekerja, GST dan macam-macam lagi. Jika anda mahu menang anda perlu sokong kelab.
35. Pemain pertama yang hendak berhijrah adalah Nazrin Nawi, Melaka tawarkan sehingga 80k. Selangor nak bayar Amri 150k,Safee terima tawaran dari Penang 75k. Aidil ditawarkan 56k termasuk adiknya.
36. Nike akan taja pasukan JDT. Nilai belum boleh didedahkan tetapi ia paling mahal dalam sejarah bola sepak Malaysia. Siapa yang tidak mahu taja JDT. Ini adalah pasukan terbaik. Hanya ada 3 pasukan terbaik di Asia Tenggara iaitu Persib Bandung, JDT dan Buriram United. Tetapi di Eropah mereka lebih mengenali JDT berbanding pasukan yang lain. Syarikat yang menaja pasukan JDT pasti boleh dapatkan keuntungan.
37. Bila awak jadi pemain berjaya seperti Safiq Rahim, awak akan terima banyak tawaran dari banyak pasukan lain walaupun masih mempunyai kontrak sehingga 2019. Jasazrin sendiri ada menerima tawaran dari Pahang. Saya ucapkan bebanyak terima kasih kepadanya.
38. Berkenaan saingan di peringkat ACL, melihat pada bakat dan konsep fizikal, pemain kita mampu bertanding. Tetapi saya juga sedar yang mereka mempunyai standard yang lebih tinggi dari kita. Namun dekikian, jika kita lihat pasukan yang semantap Buriram United pun kalah 0-8, banyak peminat mereka sendiri yang menghentam mereka. Tetapi jawapan Buriram sama dengan jawapan yang hendak saya sampaikan. Ini bukan isu menang atau kalah,ia adalah berkenaan berada di peringkat tertinggi di Asia. Orang lain boleh mengkritik tetapi berapa pasukan lain yang telah berada di separuh akhir Piala AFC? Siapa yang telah ke final Piala AFC? Memang susah untuk kita bersaing dengan kelab dari Jepun, Korea dan sebagainya, tetapi untuk nama JDT berada si situ sudah cukup baik untuk saya. Saya nak JDT menjadi peneraju/pioneer dalam negara walaupun sangat sukar.
39. Saya terbuka untuk dikritik tetapi saya hanya berkhidmat di tempat ini sahaja. Saya sedang cuba memujuk Safiq Rahim, Aidil Zafuan, S. Kunanlan dan Amirulhaadi untuk kembali ke skuad negara tahun hadapan. Kerana saya lihat pasukan kebangsaan tiada konsep. Pemain bagus tetapi tiada arah tuju.
40. Kenapa pasukan lain tidak boleh berdialog seperti yang saya buat? Hanya handal bercakap di internet, tetapi tidak berani duduk depan penyokong.
41. Sasaran JDT II adalah untuk berada di kedudukan empat pasukan terbaik Liga Premier, melepasi suku akhir Piala Malaysia dan menghasilkan lebih banyak bakat muda untuk pasukan JDT bagi tahun 2018.
42. Saya tidak pernah mengatakan ingin menjadi penaung, saya berkata jika mereka mahu saya membantu, saya sentiasa bersedia membantu. Jika mereka ingin saya ada kedudukan, sama ada penasihat atau penaung kita lihat dulu. Saya bersedia membantu jika diperlukan seperti jika mahu berjumpa dengan sesiapa sahaja yang boleh memperbetulkan struktur pengurusan atau falsafah bola sepak tanahair atau mereka inginkan nasihat. Itu sahaja.
43. Yang sering memberi komen adalah semua yang telah lama bersara, bukan mereka yang masih berkhidmat dalam bolasepak. Siapakah yang sepatutnya yang perlu media jumpa? Pada saya, orangnya adalah seperti Datuk Windsor Paul, yang telah berada di AFC. Itu adalah contoh orang yang patut media tanya. Dan bertanyalah kepada bekas pemain dari luar negara atau jurulatih asing yang pernah berkhidmat di Malaysia bukannya bertanya kepada individu yang berlagak pandai dalam semua hal dalam bolasepak.

VIA JST

Hidup Johor Demi Johor