Tali Gantung Menanti

Tali Gantung Menanti|Mahkamah Majistret Bukit Mertajam menetapkan 28 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes wanita warga emas yang didakwa mendera pembantu rumahnya, Adelina Lisao, 26, sehingga mati, Februari lalu.

Majistret Dianne Ningrad Nor Azahar membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hamzah Azhan memaklumkan bahawa laporan patologi mangsa belum siap.

Konsul Jeneral Indonesia Pulau Pinang, Iwanshah Wibisono hadir sama bagi mendengar prosiding hari ini.

Sementara itu di luar perkarangan mahkamah, Iwanshah berkata, pihaknya berharap kes itu dapat diselesaikan dengan segera bagi memberi keadilan kepada Adelina.

Beliau berkata, keluarga Adelina sudah menerima tunggakan gaji berjumlah RM69,300 daripada majikannya.

Tertuduh, M A Ambika, 60, didakwa membunuh wanita warga Indonesia, Adelina Lisao, 26, di rumah di 67, Medan Kota Permai 2, Taman Kota Permai 2 Bukit Mertajam pada 10 Februari 2018 kira- kira 4 petang.

Ambika didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Adelina meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam, 4.45 petang 11 Februari lalu selepas diselamatkan dalam keadaan parah dari rumah majikannya sehari sebelum itu.

Dia yang mengalami lebam pada bahagian kepala dan muka, cedera di lengan dan kedua-dua belah kaki sehingga bernanah dipercayai terkena air panas turut didakwa dibiarkan tidur bersama anjing di luar rumah sejak lebih sebulan lalu selain tidak diberikan makanan mencukupi.

The post Tali Gantung Menanti appeared first on Eberita.org.