‘Sejuk perut ibu mengandungkanmu’

“BACAAN al-Quran menemani hidup anak saya sejak dalam kandungan sehingga kini. Itulah penghiburnya setiap hari,” kata Najwah Aziz, 30, mengenai anaknya Muhammad Al Fateh Muhammad Fahmi, yang berusia dua tahun enam bulan.

Baru-baru ini, video Muhammad Al Fateh melaungkan azan yang dimuat naik ibunya di akaun Facebook (FB) tular dan menarik perhatian ramai pelayar, malah sudah dikongsi sebanyak 24,000 kali.

Najwah berkata, dia tidak menyangka video anaknya melaungkan azan tular di FB kerana dia memuat naik video itu hanyalah dengan niat untuk disimpan sebagai kenangan.

Katanya, dia bersyukur kerana kebanyakan netizen memberi komen positif, malah ada antara mereka meminta dia berkongsi rahsia mendidik Muhammad Al Fateh.

“Muhammad Al Fateh memang suka mendengar azan sejak kecil lagi, malah sekarang ini memang setiap hari lebih daripada 10 kali dia akan melaungkan azan ketika di rumah.

“Saya mula mengesan minat Muhammad Al Fateh menghafal ayat al-Quran sejak dia berusia 18 bulan. Ketika itu kami dapat lihat mulutnya terkumat-kamit mengikut saya membaca al-Quran walaupun sebutannya kurang jelas.

“Muhammad Al Fateh sebenarnya masih tidak pandai membaca lagi, namun dia memang cepat menghafal apabila mendengar terutama ayat al-Quran yang kebanyakannya didengari di televisyen,” katanya yang baru berpindah ke Bintulu, Sarawak, bulan lalu kerana mengikut suaminya yang bertugas sebagai jurutera.

Najwah berkata, selain pandai melaungkan azan, Muhammad Al Fateh yang juga anak sulung daripada dua beradik mampu menghafal beberapa surah lazim selain ayat dalam surah lain seperti surah Yasin.

Menurutnya, Muhammad Al Fateh tidak suka bermain alat mainan yang dibeli sebaliknya lebih berminat kepada buku bertulisan Jawi dan tasbih.

“Namun jika ada sepupunya datang, dia akan bermain juga tetapi hanya seketika, kemudian dia akan mengambil sejadah dan tasbih untuk mengajak sepupu solat serta berzikir.

“Pemakanan Muhammad Al Fateh seperti kanak-kanak lain juga, cuma sejak usianya enam bulan, hampir setiap hari dia makan kismis, malah sekarang kismis sudah menjadi makanan kegemarannya,” katanya.

Najwah berkata, dia berharap anak sulungnya itu mampu menghafal al-Quran dan menjadi insan mempunyai ilmu agama yang tinggi.

“Semoga segala yang dikongsi bermanfaat dan menjadi semangat kepada orang lain untuk mendidik anak supaya cintakan al-Quran,” katanya. – Harian Metro