SAFIQ IMPIKAN BERSAING DALAM LIGA JUARA-JUARA AFC 2017

Pemain Tengah Terbaik dalam majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016, Safiq Rahim, mahu merealisasikan impiannya beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2017.
Selaku pemain yang sudah mengecapi kesemua kejuaraan peringkat kelab kecuali Piala Malaysia, Safiq mahu menguji dirinya dalam saingan kejohanan elit kelab Asia itu.
Dengan usia yang sudah menjangka 29 tahun, bekas kapten skuad kebangsaan itu turut mengakui mahu mengharungi cabaran dalam Liga Juara-Juara AFC sebelum menamatkan kariernya.
“Saya berasa ia bukan impian saya sahaja. Ia adalah impian semua pemain, baik di dalam pasukan JDT mahupun Malaysia, kerana kita mahu pergi ke tahap yang lebih tinggi.
“Saya harap untuk musim ini kami dapat meraih keputusan positif dalam play-off kelayakan Liga Juara-Juara Asia.
“Tidak mustahil kami mampu layak,” kata Safiq.
Walaupun gagal mempertahankan gelaran Pemain Paling Bernilai dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016, Safiq tetap menyifatkan Anugerah Pemain Tengah Terbaik yang dimenanginya sebagai suntikan semangat mengharungi musim 2017.
Harapan Safiq adalah rakan sepasukan baru dalam skuad JDT segera menyesuaikan diri dengan corak latihan pengendali pasukan, Mario Gomez, dalam usaha memastikan kelab itu terus mendominasi saingan Liga Malaysia musim depan.
“Saya harap pemain-pemain baru yang menyertai JDT untuk musim akan datang dapat beraksi dengan baik.
“Saya harap kami dapat melakar kejayaan yang baik bersama pemain-pemain baru.”