Punca sebenar & dalang tragedi kebakaran pusat tahfiz akhirnya terbongkar

Punca sebenar & dalang tragedi kebakaran pusat tahfiz akhirnya terbongkar|Misteri insiden kebakaran tragis di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat di sini Khamis lalu nampaknya semakin hampir diselesaikan pihak polis.

Perselisihan faham lima pelajar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dengan tujuh remaja di kawasan Taman Datuk Keramat dipercayai punca kejadian kebakaran yang mengorbankan 23 penghuni pusat tahfiz berkenaan..

Berdasarkan laporan polis kes serius itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bunuh yang jika sabit kesalahan di mahkamah, boleh dihukum gantung sampai mati.

Malah kes berat tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan jenayah khianat bakar harta benda secara sengaja yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Suspek yang dicekup itu paling tua merupakan seorang lelaki Melayu berusia 18 tahun dan berasal dari Kelantan manakala seorang lagi rakannya juga lelaki Melayu berumur 17 tahun pula tetapi berasal dari Kuala Lumpur.

Tiga lagi disyaki berusia 16 tahun namun masing-masing seorang lagi suspek berumur 15 tahun dan paling muda ialah 11 tahun. Kesemua mereka disahkan berasal dari sekitar ibu negara.

Suspek dipercayai melakukan kebakaran kerana motif balas dendam akibat diejek beberapa pelajar tahfiz itu dan mereka ada merancang untuk memecah masuk asrama pusat itu bagi mencuri telefon bimbit milik penghuninya.

Bagaimanapun pada hari kejadian, mereka mengubah rancangan untuk membakar langsung pusat berkenaan setelah berbincang di sebuah restoran bersebelahan ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Premis itu kebetulan terletak berhampiran pusat tahfiz tersebut. Justeru pada jam 4 pagi, dua suspek berkenaan telah membeli petrol dari sebuah stesen minyak berdekatan yang diisi dalam sebotol air mineral bersaiz besar.

Sekitar pukul 4.30 pagi, mereka berkumpul di padang belakang pusat tahfiz itu namun suspek paling muda yang turut menyaksikan perbuatan tersebut dilaporkan memanjat masuk ke pejabat PPIM untuk tidur kerana keletihan.

Suspek lain bagaimanapun memecah masuk sebuah kiosk bersebelahan pejabat PPIM untuk mencuri dua tong gas setelah mendapati pintu masuk ke bilik asrama berkunci. Barang itu diletakkan menghala ke arah pintu bilik itu.

Seorang suspek pula mengambil tilam dari tingkat bawah dan diletakkan di tingkat tiga bangunan pusat itu sebelum api dinyalakan dengan menggunakan pemetik api. Mereka melarikan diri dengan menaiki motosikal balik ke rumah.

Menurut sumber, suspek berjaya ditahan selepas hari kejadian. Mereka kemudian dibawa ke Kompleks Mahkamah di Jalan Duta untuk perintah reman selama tujuh hari. Air kencing enam daripada suspek disahkan positif dadah.

Ada juga suspek dikesan memiliki rekod jenayah lampau. Kes masih lagi disiasat. Sumber memaklumkan, suspek ditangkap hasil maklumat risikan dan rakaman kamera litar tertutup di pejabat PPIM.

 

 

 

The post Punca sebenar & dalang tragedi kebakaran pusat tahfiz akhirnya terbongkar appeared first on Eberita.org.