Padah sebar berita palsu

Padah sebar berita palsu|GADIS gadis lepasan Politeknik, Ainin Syazwani Che Mat Noordin, 22, dan jurutera kilang, Mohd Asrul Alwin Mohd Yusoff, 32, masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu di Facebook, berhubung laporan kontena dipercayai berisi daging babi bercampur daging kambing dibawa masuk dari Sepanyol.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Ainin Syazwani dan Mohd Asrul Alwin selaku orang kena saman (OKS) selepas mereka mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Kedua-dua OKS turut berdepan hukuman penjara sebulan setiap seorang sekiranya gagal membayar denda itu dan mereka membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua OKS itu didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook (FB) milik mereka telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 7.48 pagi, 21 Julai 2017 dan 9.53 pagi, 20 Julai 2017.

Kedua-dua pautan itu dibaca di restoran Starbucks Aeon Alpha Angle, Bandar Baru Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 10 pagi, 1 Ogos 2017.

Ainin Syazwani dan Mohd Asrul Alwin didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, dalam rayuannya Ainin Syazwani yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepadanya kerana dia sudah insaf dan memohon maaf selain baru bekerja sambilan untuk menanggung keluarga.

Mohd Asrul Alwin yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah memberikan hukuman ringan atas alasan dia menanggung keluarga serta tidak berniat untuk memburukkan mana-mana pihak atau mengajak orang lain membenci, tetapi hanya untuk ingatan saudara seagamanya.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Norhani Mohd Adzhar bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan dilakukan membabitkan penyebaran berita palsu selain untuk memberi pengajaran kepada orang lain supaya terlebih dahulu mengesahkan sesuatu berita sebelum menyebarkannya.

Berdasarkan fakta kes, pada 1 Ogos tahun lalu, seorang lelaki telah membaca status dimuat naik kedua-dua OKS dan hasil siasatan mendapati akaun itu milik mereka, serta keterangan daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengesahkan status yang menjadi tular itu adalah komunikasi palsu.

Pada Julai tahun lalu, MAQIS menyita empat kontena dipercayai berisi daging babi bercampur daging kambing yang dibawa masuk dari Sepanyol dalam serbuan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor Baharu dan kes itu kemudian menjadi tular di laman sosial.

The post Padah sebar berita palsu appeared first on Eberita.org.