Nama lelaki ini Umno

KANGAR – Seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun yang menetap di Taman Permai, Jalan Hospital di sini mempunyai nama unik seperti sebuah parti di negara ini iaitu UMNO.

Umno @ Anuar Abdullah berkata, nama itu diberikan oleh arwah ayahnya, Abdullah Ariffin yang telah meninggal dunia pada 2011.

“Ayah saya sebelum ini merupakan seorang penghulu di Beseri, Padang Besar dekat sini. Dia menjawat jawatan itu semasa negeri ini ditadbir bekas Menteri Besar Perlis keempat iaitu Tan Sri Sheikh Ahmad Mohd. Hashim.

“Mungkin kerana menghargai (Sheikh Ahmad) dan arwah ayah saya sendiri merupakan penyokong tegar UMNO dan Parti Perikatan (Barisan Nasional) menyebabkan dia mengambil keputusan menamakan saya Umno.

“Namun, semasa ingin berkahwin dahulu, saya menambah nama dalam kad pengenalan iaitu Anuar.

“Tetapi, sejak dahulu hingga sekarang, rakan kampung, sekolah, sekerja, taman perumahan dan pelanggan tetap memanggil dan menegur saya dengan panggilan Umno,” katanya ketika ditemui dipremisnya yang terletak berhadapan pejabat Jabatan Tanah dan Galian Perlis, Jalan Penjara di sini hari ini. – K! ONLINE